30 November 2015

Kisah penyusuan aku dan anak-anak

Masa aku lahirkan sofea sekitar tahun 2009 aku memang naif sangat pasal penyusuan susu ibu ni. Bukan tak baca atau cari maklumat tentang penyusuan susu ibu semasa mengandung. Tapi pengalaman dengan pembacaan sangat-sangat berbeza okey. Aku ingatkan lepas lahirkan anak, automatik boleh terus susukan baby dengan jayanya. Tak sangka rupanya banyak halangan dan cabaran yang menanti untuk menjayakan menyusukan susu ibu sebenarnya.

Hari pertama kat wad bersalin memang aku tak nampak apa-apa masalah nak susukan sofea. Aku bersalinkan sofea dalam pukul 1 pagi hari sabtu. Bersalin waktu orang tak keje memang tak best kau tahu. Sebab doctor tak ada. Bersalin kat hospital kampung. Yang handle aku bersalin masa tu sorang misi jer. Kebetulan sebaik aku selamat melahirkan sofea terus sofea uk uk. Baguslah kan. Sebab kalau baby tak berak tak boleh keluar hospital. Tapi moment nak mendakap dan menyusukan baby lepas-lepas bersalin tu aku tak dapat. Misi tak kisah pun nak suruh aku bf baby. Dia sibuk nak cuci berak sofea dulu. Huhu.


Lepas naik wad baru aku dapat menyusukan sofea buat kali pertama. Baby baru lahir memang kerja dia tido je. Susu pun tak banyak mana. So okeylah. Tahu tak susu pertama yang keluar dari badan kita tu dinamakan kolostrum. Kolostrum mengandungi khasiat sebaiknya yang diperlukan oleh bayi. Kolostrum mengandungi antibodi yang melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit birit, radang paru-paru dan selsema. Walau pun susu pertama yang keluar tu semacam cair dan jernih sikit tapi sangat berkhasiat untuk bayi kita. Sebab tu penting lepas bersalin kita terus susukan baby kita.

Lepas pulang ke rumah bermulalah kisah sedih aku dalam menyusukan sofea. Hari pertama dan kedua lepas bersalin, setiap kali sofea menyusu dua jam menyusu pun masih tak sudah-sudah. Apa kesss… Kebetulan sofea kena jaundice. Tinggi jugak dekat nak 300. Dah nak kena masuk wad. Masa bersalin tu aku kena gunting teruk. Pepaham lah kalau nak berulang alik ke hospital. Sakit ooo nak gerak banyak-banyak.

Doktor suruh kerap bagi susu. Selang sejam supaya kuning dia dapat dikeluarkan dari badan melalui air kencing. Dah air susu tak de. Sofea melekap je tapi kencing tak banyak mana. Mertua dan ipar duai mula push suruh bagi susu formula. Time tu takde sapa nak support atau tolong fikir untuk cari jalan penyelesaian ke apa. Aku memang dilahirkan dalam family yang arwah mak fully breastfeedkan anak-anak dia. Memang stresslah kena push kiri kanan. Akhirnya terpaksa mengalah jugak bagi susu fm. Dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Tetanya kat kekawan nak banyakkan susu badan pun tak berjaya. Malam-malam menangis tepi katil cerita kat laki tapi mr. mama kata ikutkan je lah cakap mek. Laki pun tak membantu. Sebab dia pun tak tahu nak buat macam mana. Untuk menjayakan penyusuan susu ibu sokongan dari suami sangat penting. Aku tahu time tu laki aku pun tersepit antara anak, bini dan emak. Kena dengar cakap orang tua yang lebih berpengalaman walaupun dia tak rela.


Time hakeem alhamdulillah aku berjaya menyusukan hakeem sehingga dua tahun. Kali ni aku dah pandai sikit. Clap hand to me… Lepas bersalin hakeem, susu sama je macam sofea. Tak berapa nak ada. Tapi lepas pergi berurut, berurut tang breast tu tau, susu keluar mencurah-curah. Haishh apsal masa sofea dulu tak terfikir nak urut bagai segala.

Buat ibu-ibu diluar sana, anda digalakkan menyusukan bayi anda secara eksklusif selama enam bulan dan seterusnya sehingga ke dua tahun ye. Yang dimaksudkan secara eksklusif itu adalah susu ibu sepenuhnya tanpa makanan dan minuman. Air putih pun tak boleh bagi. Ramai yang tak tahu tak boleh bagi air masak kat baby untuk enam bulan yang pertama kalau korang menyusu susu badan sepenuhnya.

Sesungguhnya susu ibu adalah makanan terbaik dan lengkap bagi bayi. Tiada siapa yang mampu sangkal. Cuma masih ada lagi segelintir yang belum sedar akan khasiat dan kebaikan susu ibu. Biasa sangat aku dengar, masa pantang je ibu-ibu menyusukan baby. Lepas naik kerja terus topup dengan susu formula Daripada bagi EBM baik bagi susu formula. Diorang kata susu tu tak elok sebab dah simpan lama dalam peti ais. Sebenarnya walaupun ebm tahu tak khasiatnya masih jauh lebih baik dari susu formula.

Antara kebaikan susu ibu adalah dapat mengurangkan risiko mendapat pneumonia, cirit-birit, otitis media, asma, obesiti dan penyakit kronik yang lain dalam kalangan kanak-kanak dan remaja disamping melindungi daripada mendapat kanser payudara. Haa susu ibu ni bukan sahaja sebagai makanan baby masa bayi je tau tapi kelebihannya juga dapat dilihat dalam jangka masa panjang. Bayi yang menyusu untuk tempoh yang panjang dan eksklusif juga kurang mendapat penyakit khususnya jangkitan gastrousus, pneumonis dan otitis media berulang. Habis kenapa airis tu kena jugak jangkitan paru-paru? Dah kata mengurangkan bukan 100% tak akan dijangkiti langsung. Lagi pun masa aku mengandung airis, 9 bulan tu boleh bilang berapa kali aku minum susu dan makan ubat yang klinik bagi tu. Itu memang my faultlah. Sampai sekarang aku menyesal tapi aku tak bagi tahu kat sapa-sapa terutama kat doctor. Matik kena marah. Airis lahir tak cukup berat berbanding abang dan kakak dia. Tapi benda dah lepas. Yang penting untuk kesihatan dan kebaikan baby kita pemakanan yang seimbang adalah sangat penting semasa mengandung mahu pun selepas melahirkan. Tanpa makanan yang berkhasiat jugak susu badan boleh drop tau. Susu ibu juga mengandungi zat khusus yang penting untuk perkembangan otak. Orang kata siapa yang minum susu ibu lagi bijak. Betul ker?

Aku berani kata beza sangat anak yang menyusu ibu dengan susu formula. Based on experience aku. Tiga orang anak aku, dua daripadanya menyusu badan. Airis aku berjaya  menyusu dengan susu badan sepenuhnya selama lapan bulan. Perangai dia sebijik dengan hakeem. Bukan aku nak cakap anak yang menyusu susu formula tak bagus. Tapi jalinan kemesraan antara anak yang menyusu susu ibu sangat berbeza rapatnya dengan cara anak yang kaedah penyusuannya lain. Hakeem dan airis kalau dia sedih ke merajuk ke dengan aku dia tak akan baik atau berenti nangis selagi tak dapat kata kemaafan dari aku. Berbanding dengan sofea kalau dia berkecil hati atau merajuk dia akan duduk di satu sudut dan berdiam diri untuk berapa ketiga kemudian akan happy bermain semula. Maybe jugak sebab sofea dia independent. Dari kecik aku dah hantar taska pun sama. Tapi apa yang pasti beza ah anak yang susu badan dengan susu lain. Menyusu susu badan ni pun mudah dan menjimatkan. Tak payah korang nak hangkut segala thermos, botol susu, pencuci botol kalau nak travel kan. Ini dapat mengurangkan risiko pencemaran yang mungkin berlaku dalam kaedah penyusuan yang lain.

Penyusuan susu ibu ni bukan sahaja memberi kebaikan kepada bayi tetapi juga kepada ibu itu sendiri. Aku nak share sikit pasal berat badan aku lepas bersalin. Masa mengandungkan sofea hari tu berat cecah sampai 68kg. Lepas sebulan sofea lahir berat turun 15 kg. Tapi pinggang masih tak mengecil. Ikutkan aku pakai seluar saiz 27/28. Kena pakai seluar saiz 33. Tiga empat bulan lepas tu baru slowly turun. Tak macam time hakeem dan airis sebulan je bersalinkan diorang aku dah dapat berat badan asal 48kg. Seluar yang masa sebelum mengandung pun dah muat. Inilah kebaikan susu ibu. Tak payah nak buat senaman pun boleh turun badan secara automatik.

Selain itu, penyusuan susu ibu dapat melambatkan kedatangan haid. Time sofea dulu, sofea dua bulan period aku dah datang. Sebab tu cepat je aku dapat hakeem. Sofea sepuluh bulan aku dah disahkan mengandung kali kedua. Padahal time tu aku pjj dengan mr. mama. Time hakeem, period aku datang balik masa umur hakeem  dah setahun lebih. Sememangnya penyusuan susu ibu mampu menjarakkan kehamilan. Penyusuan susu ibu juga boleh mengurangkan risiko mendapat barah buah dada dan ovary. Barah payu dara memang pembunuh utama wanita. Takut tau lebih-lebih lagi aku pernah ada operate lump. Untuk mendapat kanser payudara adalah tak mustahil. Jadi mencegah itu lebih baik daripada merawati ye tak?


Untuk berjaya dalam penyusuan susu ibu bukanlah mudah. Sokongan keluarga, ilmu pengetahuan yang cukup dan semangat yang tinggi dalam diri sendiri mampu menjayakan penyusuan susu ibu. Telah terbukti penyusuan susu ibu mampu meningkatkan taraf kesihatan kita sekeluarga. Untuk itu jangan lupa layari laman web http://www.infosihat.gov.my untuk mengetahui lebih lanjut tentang amalan gaya hidup yang sihat.

0 Comment: